Dun Balung — 23 February 2011
Maulidur Rasul Peringkat Taman Sri Titingan
BEKALKAN DIRI DENGAN ILMU :
ABAS Tawau : 24 Feb 2011-02-24 Umat Islam hanya mampu keluar dari kongkongan kejahilan, kemunduran, kelemahan, kehancuran dan kemiskinan dengan membekalkan diri dengan ilmu, kata Datuk Syed Abas Syed Ali “Ilmu akan membawa kita kepada perubahan, kejayaan dan kemajuan.
Ilmu juga membawa kita keselesaan, kesejahteraan rohani dan jasmani,” kata beliau ketika merasmikan majlis sambutan Maulidur Rasul Peringkat Taman Sri Titingan di Perkarangan Surau Al-Munawwarah, Taman Sri Titingan, Tawau.
Abas yang Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Balung berkata contoh terbaik yang perlu dijadikan iktibar oleh umat Islam ialah bagaimana Nabi Muhammad S.A.W berjaya menghapuskan keruntuhan moral dan kerosakan akidah di kalangan masyarakat Arab Jahiliah.
Katanya kerangka pembangunan kemanusiaan yang memberi penekanan terhadap nilai-nilai keilmuan bagi memperkasakan modal insan yang dilaksanakan Nabi Muhammad S.A.W berjaya melahirkan insan yang celik ilmu pengetahuan sehingga mampu menjana kecemerlangan masa hadapan Islam.
“Semua ini mampu kita laksanakan sekiranya kepentingan terhadap budaya ilmu yang menjadi tuntutan Islam diletakkan sebagai agenda utama dalam segenap aspek kehidupan umat Islam. “Amat rugi dan menyedihkan, jika kita sebagai umat Nabi Muhamad S.A.W gagal mencernakan segala amanat dan peninggalan Baginda tersebut dalam kehidupan di abad ini yang sangat menuntut umatnya supaya berlumba, berdaya saing bagi membina kemajuan dan peradaban,” jelas Abas.
Menurut Abas kerajaan melaksanakan pelbagai strategi bagi melahirkan ummah yang kaya dengan ilmu pengetahuan dan sentiasa menjadikan pencarian ilmu sebagai matlamat utama kehidupan. Kesungguhan untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara Islam contoh, tambah beliau, terus menjadi agenda utama kerajaan apabila pembangunan modal insan diletakkan sebagai teras dalam pembentangan Bajet 2011.
“Dengan membekalkan aset ini, saya amat yakin, menjelang tahun 2020, negara kita mampu menjadi sebuah negara yang membangun secara seimbang dengan rakyatnya memiliki jati diri yang unggul dan berpegang kuat kepada agama dan ini akan menjadikan Malaysia sebagai negara Islam maju, bertaraf dunia yang boleh dicontohi oleh masyarakat antarabangsa,” tegas Abas. Abas juga memberitahu majlis tahunan sambutan Maulidur Rasul amat penting kepada umat Islam bukan sahaja bagi memperingati hari kelahiran Nabi Muhammad S.A.W tetapi juga bagi menghayati perjuangan, pengorbanan dan kejayaan yang dilalui dan dirintis oleh Rasulullah dalam menobatkan keagungan Islam di muka bumi ini. “Dalam konteks umat Islam di negara ini, semarak semangat Maulidur Rasul telah sebati dalam kehidupan mereka.
Nilai murni yang dibawa oleh Rasulullah S.A.W memang menjadi teladan, ikutan dan amalan sepanjang zaman,” katanya.. Jelas beliau keunggulan peribadi Nabi Muhammad S.A.W dihiasi dengan bekalan ilmu yang cukup matang dan sempurna. “Sumber ilmu yang diperolehi Baginda ialah melalui wahyu daripada Allah Subhanahu Wata’ala yang merupakan kandungan al-Quran yang mencakupi semua bidang yang diperlukan oleh manusia.
“Ilmu yang diterima oleh Baginda dan kemudiannya diajar kepada seluruh umat manusia adalah bersifat teoritis dan praktis yang tidak hanya terbatas kepada keperluan asas semata-mata, bahkan ia mampu membawa perubahan kepada manusia bagi menyelesaikan segala tuntutan semasa,” tambahnya. Dalam majlis turut diadakan bergunting rambut untuk 20 orang kanak-kanak. Turut hadir sama Pengerusi Penganjur, Arsah Sutir, Ketua Kampung Titingan, Haji Mahmud Sakti, Imam Surau Al-Munawwarah, Imam Haji Paliama Elak, Pengerusi Masjid Babul Khair, Kg. Titingan, Haji Lajewah Lakarajah, penduduk kampung dan pemimpin masyarakat.
by: Liza Din

Artikel Bekaitan

Kongsi Artikel Ini

Pendapat / Cadangan / Komen Anda

(0) Readers Comments

Leave a Reply