Dun Balung — 02 March 2011
JKKK IBARAT JAMBATAN RAKYAT, KERAJAAN : ABAS

Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) berperanan penting dalam membantu pembangunan sesuatu kawasan terutamanya di bahagian ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Balung, Datuk Syed Abas Syed Ali berkata, JKKK diibaratkan sebagai sebuah jambatan yang menghubungkan antara kerajaan dan penduduk dalam memastikan kemajuan berterusan sesebuah tempat.

Katanya, menerusi JKKK juga kata beliau, kerajaan akan dapat mengenal pasti masalah yang dihadapi penduduk dan akan berusaha untuk mengatasinya.

”Sehubungan itu, penduduk perlu sedar akan pentingnya JKKK bagi mempertingkatkan lagi kemajuan di kawasan mereka,” katanya ketika berucap merasmikan sambutan Maulidur Rasul peringkat Taman Sri Balung di Masjid Babussalam Taman Sri Balung, Tawau di sini kelmarin.

Turut hadir sama Ketua Pemuda UMNO Tawau, Ariffin Kassim, pemimpin masyarakat dan penerima bantuan.

Dalam majlis itu Abas turut menyampaikan bantuan berupa beras kepada 25 orang penduduk Taman Sri Balung dan 15 orang Projek Perumahan Rakyat Termiskin Perpaduan Balung yang disumbangkan daripada bernas.

Abas yang juga Timbalan Ketua UMNO bahagian Tawau menasihatkan ahli JKKK supaya menjalankan peranan mereka untuk memelihara kebajikan serta memastikan taraf keselamatan setiap penduduk sentiasa terjamin.

Katanya, selain itu, setiap ahli JKKK juga perlu meningkatkan tahap kerjasama di kalangan mereka demi memastikan setiap program yang berkaitan dengan kebajikan serta keselamatan penduduk di sesuatu kampung dapat dilaksanakan dengan sebaik mungkin.

Jelas beliau JKKK perlu memandang lebih jauh dengan memberi pengisian bermakna terhadap perkembangan minda penduduk, tanpa menjadikan pembangunan fizikal sebagai perkara penting setiap kali mesyuarat.

“Pembangunan fizikal seperti memohon jalan raya, balai orang ramai, bekalan elektrik, air dan rumah murah tidak seharusnya menjadi agenda utama.

“JKKK perlu merancang dan melaksana program yang dapat membangun minda penduduk kampung, belia serta remaja, pembangunan sosial seperti menggunakan masjid bagi aktiviti keagamaan, program membanteras gejala dadah dan keilmuan, kemahiran serta aktiviti pendidikan menjurus kepada kecemerlangan pendidikan,” tambah Abas lagi.

Tegas Abas Apa yang beliau lihat setiap kali mesyuarat JKKK topik utama perbincangan ialah projek fizikal, sebaliknya program yang membuka minda pendidikan, keagamaan, pembangunan sosial amat kurang sekali.

“Masjid dapat dimanfaatkan bagi aktiviti keagamaan dan juga sesekali diadakan program pendidikan bagi mencapai kecemerlangan masa depan anak mereka,” katanya.

Artikel Bekaitan

Kongsi Artikel Ini

Pendapat / Cadangan / Komen Anda