Dun Apas — 30 July 2011
Majlis Dialog Mengenai Situasi Semasa Bekalan Elektrik Di Sabah

Kenaikan kos bahan bakar di pasaran dunia termasuk harga minyak petroleum, gas, arang batu dan lain-lain menyebabkan subsidi bahan bakar yang diterima oleh SESB dari Kerajaan Persekutuan meningkat setiap tahun. Jumlah subsidi yang diterima oleh SESB tahun lalu adalah sebanyak RM2.663 billion. Jumlah subsidi ini adalah satu jumlah yang besar yang sepatutnya boleh disalurkan untuk meningkatkan prasarana asas lain seperti jalanraya, hospital, sekolah, perumahan rakyat miskin dan lain-lain. Malangnya apabila subsidi tersebut diberikan untuk mempastikan tarif elektrik di Sabah terus kekal di paras lama , maka bukan sahaja rakyat miskin menikmatinya bahkan golongan kaya-raya dan peniaga-peniaga besar juga mengecapi subsidi tersebut.
Sehubungan itu, bagi membolehkan SESB menyediakan bekalan elektrik yang terjamin dan tanpa gangguan dinegeri ini, kerajaan telah mengambil keputusan untuk menyusun semula tarif elektrik di Sabah yang tidak pernah disemak sejak 25 tahun yang lalu. Dengan penyusunan semula itu, purata kadar tarif elektrik di Sabah dan Labuan akan dinaikkan sebanyak 3.75 sen/kWh atau 15% peratus dari 25.5 sen/kWh kepada 29.25 sen/kWh . Penyusunan semula tarif elektrik ini perlu bagi mencerminkan kos sebenar bekalan elektrik dan juga bagi menggalakkan pengamalan Cekap Tenaga (Energy Efficiency) sejajar dengan dasar negara sekarang.
Sebenarnya, kenaikan tarif elektrik tersebut juga tidak akan melibatkan golongan berpendapatan rendah yang penggunaan elektrik mereka adalah dalam jajaran 1 hingga 350 kWh sebulan . Jumlah pelanggan yang tidak mengalami kenaikan bil bulanan selepas kadar tarif baharu dikuat-kuasakan ini adalah seramai 275,276 pengguna domestik atau kira-kira 75% dari keseluruhan pengguna domestik SESB.
Satu Majlis Dialog Mengenai Situasi Semasa Bekalan Elektrik Di Sabah telah diadakan di Hotel Emas Tawau yang dirasmikan oleh YB Datuk Tawfiq Abu Bakar Titingan, Pembantu Menteri Kewangan Negeri Sabah. Antara matlamat program tersebut adalah untuk memberi kefahaman mengenai keperluan semakan tarif bekalan elektrik tersebut kepada pemimpin masyarakat dan badan-badan perdagangan di daerah ini.

Artikel Bekaitan

Kongsi Artikel Ini

Pendapat / Cadangan / Komen Anda