Dun Apas — 20 March 2013
Kolej Komuniti Tawau memperhebatkan promosinya

Kolej Komuniti Tawau memperhebatkan promosi menarik lebih ramai masyarakat dalam kalangan masyarakat tempatan untuk mengikuti pengajian dalam bidang kemahiran.

Pengerusi Jawatankuasa Penasihat Kolej Komuniti Tawau, Datuk Tawfiq Abu Bakar Titingan berkata, program tersebut juga adalah selaras dengan hasrat kerajaan untuk memastikan peluang ekonomi dalam bidang kemahiran diisi oleh penduduk tempatan.

Katanya, program yang diadakan di bawah Jabatan Pembelajaran Sepanjang Hayat ini secara tidak langsung bertujuan mewujudkan hubungan dua hala antara penduduk setempat dengan warga kolej.

“Kita berharap lebih ramai masyarakat tempatan menyertai bidang kemahiran kerana ia sejajar dengan aspirasi kerajaan negeri iaitu ingin melihat masyarakat terlibat dalam semua sektor,” katanya di sini.

Beliau berucap demikian pada majlis perasmian Jom Sertai Kursus Pendek Bersama Pemimpin Masyarakat di Taman Kinabutan Ria di sini.

Kolej Komuniti Tawau melebarkan operasi latihan keusahawanan kepada penduduk daerah ini dengan melaksanakan kursus jangka pendek dalam kursus pengurusan jenazah lelaki dan perempuan, teknik menggunting rambut, kemahiran bermain kompang, masakan nasi dagang dan pembuatan mee kuning.

Ketua Jabatan Pembelajaran Sepanjang Hayat Kolej Komuniti Tawau, Mohd Rashid Saad berkata, pihaknya memainkan peranan sebagai institusi untuk menjana bidang keusahawanan dalam kalangan masyarakat bumiputera.

Tambahnya, kaedah itu berpotensi menambah pendapatan penduduk terbabit menerusi sektor pengeluaran dan pasaran makanan.

“Penyertaan peserta kursus ini amat menggalakkan dan menunjukkan petanda aras bahawa bidang keusahawanan berasaskan pengeluaran dan pasaran makanan semakin menarik minat golongan masyarakat tempatan,” katanya.

Menurut beliau, kolej tersebut bersedia menyediakan tenaga pengajar dan kepakaran bidang pengeluaran makanan dan latihan vokasional untuk melatih lebih ramai usahawan di daerah ini.

Beliau berkata, pihaknya sedang merancang melaksanakan pelbagai lagi kursus yang bersesuaian dengan keperluan masyarakat tempatan di daerah Tawau.

Dalam pada itu, seorang peserta kursus yang juga Pengerusi Jawatankuasa Penduduk Taman Kinabutan Ria, Nasri Lauraisa berkata, program berkenaan cukup signifikan dan merupakan landasan terbaik untuk melatih lebih ramai usahawan khususnya dalam sektor pembuatan dan pasaran makanan, di samping memberikan kemahiran penting untuk penduduk.

Artikel Bekaitan

Kongsi Artikel Ini

Pendapat / Cadangan / Komen Anda