Dun Apas — 26 March 2013
Menyampaikan Sumbangan Kepada Salah Seorang Penerima di Kampung Apas Parit

Bantuan yang disalurkan kepada rakyat bukannya untuk memancing undi sebaliknya bagi meringankan bebanan kehidupan harian mereka yang yang kurang berkemampuan.
Pembantu Menteri Kewangan, Datuk Tawfiq Abu Bakar Titingan berkata, bantuan itu sebagai sebagai tanda keprihatinan kerajaan kepada golongan yang memerlukan di seluruh negeri termasuk penduduk di Dewan Undangan Negeri (DUN) Apas.
Katanya, dalam perkara ini kerajaan tidak pernah pilih kasih untuk menyalurkan bantuan tersebut tidak kira sama ada mereka penyokong pembangkang atau sebaliknya.
Menurut beliau, pemberian bantuan ini bukan kerana pilihan raya yang semakin hampir sebaliknya mereka layak menerima setiap seorang tanpa mengira kaum.
Katanya, mendampingi masyarakat yang kurang bernasib baik dengan cara menziarah dan bertanya khabar menjadi salah satu cara pendekatan yang menggalakkan dilakukan oleh golongan pemimpin masa kini.
Menurutnya lagi, jika dahulu, rakyat yang ingin memohon bantuan terpaksa `mengetuk’ pintu pejabat pemimpin, tetapi kini sebahagian pemimpin prihatin akan turun padang menemui mereka.
“Keakraban antara pemimpin dan rakyat sebegini mampu menjana sebuah masyarakat yang sentiasa saling bantu membantu bagi mewujudkan sebuah komuniti yang harmoni”, jelas Anggota Dewan Undangan Negeri Apas itu lagi.
Beliau berkata demikian selepas meluangkan masa melawat dan menyampaikan bantuan kepada golongan kurang berkemapuan di sekitar kampung Apas Parit bersama Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) di bawah Program JASA Prihatin di sini.
Seramai lima orang penduduk kurang berkemampuan menerima sumbangan barangan dapur dan wang tunai.
Tambah Tawfiq, di bawah program yang diselia JASA Parlimen Tawau, pihaknya dapat mengenal pasti golongan kurang bernasib baik yang perlu mendapat pembelaan dan bantuan sewajarnya.
Program sebegini katanya, akan berterusan dari semasa ke semasa bagi memastikan golongan kurang berkemampuan mendapat pembelaan sewajarnya.
Sementara itu, Ketua Zon UMNO Apas, Tahah Malisi berkata, pihaknya telah menjalankan program mengenal pasti golongan yang memerlukan bantuan sejak sekian lama.
“Bantuan tidak hanya tertumpu apabila tiba musim perayaan. Program dijalankan berterusan bagi mencapai objektif membantu masyarakat yang kurang bernasib baik meringankan bebanan yang ditanggung,” ujarnya.
Menurutnya, pendekatan yang dilakukan oleh pemimpin dengan cara menziarah ke rumah golongan yang kurang bernasib baik amat digalakkan.
“Selain bertemu terus dengan golongan sasar untuk bertanya khabar, kedatangan pemimpin juga akan mendedahkan kehidupan sebenar masyarakat, keadaan rumah, keluarga dan persekitaran,” ujarnya.

Artikel Bekaitan

Kongsi Artikel Ini

Pendapat / Cadangan / Komen Anda