Dun Apas — 20 March 2013
Perasmian Belia 3P Tawau

Kerajaan sentiasa memberi galakan kepada golongan belia di negeri ini untuk menubuhkan persatuan belia di kawasan masing-masing.

Pembantu Menteri Kewangan, Datuk Tawfiq Abu Bakar Titingan berkata, kerajaan melalui Kementerian Belia dan Sukan negeri bukan sahaja turut membantu memperkasakan pertubuhan belia yang sedia ada, namun berusaha menarik lebih ramai generasi muda supaya aktif berpersatuan.

“Kerajaan akan sentiasa memberikan galakan, termasuk memberi bantuan kepada belia yang berminat menubuhkan persatuan belia.

“Ia merupakan langkah terbaik memperkasakan golongan tersebut sebagai aset dan meneruskan proses kesinambungan pembangunan negara pada masa akan datang,” katanya di sini.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Persatuan Belia 3P di Dewan Serbaguna Kampung Batu Payung, dekat sini.

Turut hadir, Jamil Jilap Pegawai Kementerian Belia dan Sukan Negeri Bahagian Tawau dan Abdul Rahman Amir, Pengerusi Belia 3P.

Sambil mengucapkan tahniah atas inisiatif penubuhan persatuan belia di kampung tersebut, Tawfiq yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Usukan berkata, penubuhan persatuan tersebut penting dalam membanteras masalah sosial dan menjana pelbagai aktiviti belia yang memberi manfaat kepada mereka.

Selain itu, katanya, ia membolehkan peruntukan daripada kerajaan dan pihak swasta dapat disalurkan terus kepada kumpulan sasar bagi menjayakan pelbagai aktiviti yang dianjurkan.

Menurutnya, terdapat banyak persatuan belia di negeri ini yang boleh dijadikan model kepada para pemimpin belia dalam mencapai keberkesanan kepimpinan, agar setiap persatuan yang ditubuhkan mempunyai hala tuju yang jelas.

“Kita berharap penubuhan persatuan ini tidak hanya pada nama sahaja dan tidak menjadi persatuan yang umpama melukut ditepi gantang, tetapi pelbagai program kemasyarakatan dapat dilaksanakan, demi memberi faedah kepada semua pihak,” katanya.

Tawfiq berkata, program pembangunan belia perlu dirancang dan dilaksanakan dengan sebaiknya, termasuk melibatkan aspek seperti pendidikan, ekonomi, sukan, sosial dan agama.

”Pertubuhan belia mempunyai banyak program pencegahan untuk menjauhi golongan muda daripada terjebak dalam pelbagai masalah sosial,” katanya lagi.

”Belia yang terlibat dalam gejala sosial tentunya tidak berpersatuan atau menganggotai mana-mana pertubuhan beliau.

“Jika mereka merupakan ahli mana-mana pertubuhan belia, sudah tentu mereka mengetahui saluran untuk mendapatkan bantuan, ” jelasnya.

Dalam pada itu, Tawfiq yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Kawasan Apas berharap golongan belia terus bergerak secara aktif dalam persatuan bagi memantapkan jati diri dan menimba pengalaman luas tentang kepimpinan di sesebuah organisasi.

Justeru, beliau mahu golongan belia sentiasa peka dan turut serta dalam setiap aktiviti yang dianjurkan oleh pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

”Kita mahu agar golongan belia dapat memberikan komitmen yang tinggi dalam aktiviti berpersatuan kerana ia bukan sahaja dapat mendedahkan mereka dengan ilmu pengetahuan.

Artikel Bekaitan

Kongsi Artikel Ini

Pendapat / Cadangan / Komen Anda