Dun Apas — 26 March 2013
Seminar Keibubapaan dan Mesyuarat Agung PIBG SK Titingan

Ahli-ahli Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) di sini khususnya golongan bapa diingatkan supaya aktif dalam setiap aktiviti persatuan itu.
Ahli Dewan Undangan Negeri Apas, Datuk Tawfiq Abu Bakar Titingan berkata, ibu bapa perlu aktif melibatkan diri dalam setiap program anjuran PIBG atau pun pihak sekolah kerana ini memberi impak yang lebih baik kepada pelajar dan sekolah.

“Ini penting kerana program anjuran PIBG dan sekolah sebenarnya membuka ruang serta peluang kepada kita untuk membincangkan pencapaian pelajaran anak-anak,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap sempena perasmian Penutupan Seminar Keibubapaan dan Mesyuarat Agung PIBG di Sekolah Kebangsaan Kampung Titingan dekat sini hari ini.
Turut hadir, Pengarah Biro Tatanegara Sabah, Datuk Ibrahim Saad, Aktivis Pendidikan, Datuk Mary Yap Kain Ching, Hasan Kadir, Guru Besar SK Kampung Titingan dan Pengerusi PIBG, Arbayin Abdul Rahman.

Menurut Tawfiq, pihak sekolah akan berbesar hati sekiranya golongan tersebut prihatin dengan turut serta dalam semua aktiviti PIBG kerana banyak perkara boleh dibincangkan.
Beliau berkata, kesepakatan dan keputusan sebulat suara daripada semua ahli PIBG adalah penting bagi menentukan hala tuju atau sasaran pihak sekolah.
Katanya, begitu juga dengan masalah murid atau sekolah yang menuntut penyelesaian hasil daripada keputusan muafakat PIBG.
Ketika ini ujarnya, golongan wanita lebih ramai dan komited dalam memberi sokongan kepada program anjuran sekolah mahupun PIBG berbanding lelaki.

“Bapa adalah contoh paling dekat kepada anak-anak untuk berjaya dalam pendidikan. Sudah menjadi tanggungjawab untuk mendorong kejayaan anak-anak mereka.
“Guru hanya pembimbing. Oleh itu, mereka tidak boleh mengharapkan sepenuhnya kepada guru untuk menjaga dan mendidik anak tetapi mereka perlu berkerjasama,” katanya.
Selain itu katanya, keharmonian suasana kondusif keluarga juga perlu dijaga kerana secara tidak langsung dapat mempengaruhi murid untuk mencapai kejayaan cemerlang dalam pelajaran.
“Keharmonian dalam keluarga itu penting kerana ia memberi kesan positif kepada anak-anak untuk berjaya dalam pelajaran, selain memberi motivasi kepada mereka untuk berusaha,” katanya.
Pada majlis tersebut, Tawfiq turut menyumbangkan wang tunai kepada 2 murid sekolah berkenaan yang berjaya memperoleh 5A dalam Ujian Penilaian Sekolah Rendah tahun lalu.

Artikel Bekaitan

Kongsi Artikel Ini

Pendapat / Cadangan / Komen Anda